BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Wednesday, February 24, 2010

Rahmatan Lil 'Alamin

Lahir seorang bayi yang elok rupa lagi sihat badannya pada suatu malam Isnin di bulan Rabiul Awal tanggal 12 haribulan bertepatan dengan tahun 570 Masehi. Si ibu, Siti Aminah ternyata tidak menanggung penderitaan yang berat sebagaimana kebanyakan ibu-ibu biasa ketika melahirkannya. Di sisi, hambanya Siti Syifa’ selaku bidan menyambut kelahiran bayi itu Dibersihkan badannya kemudian dibalutnya dengan kain putih bersih.

Sungguh menghairankan Siti Syifa’ yang juga merupakan ibu kepada Abdul Rahman Auf, tatkala menyambut kelahiran manusia agung tersebut. Bayi tersebut langsung tidak menangis, tetapi hanya bersin. Seakan sama dengan apa yang terjadi kepada bapa kita Nabi Adam. Setelah hidup dan bernafas, tiba-tiba beliau bersin.

Malah suasana di rumah Abdul Muttalib yang hanya diterangi cahaya pelita, tiba-tiba menjadi terang benderang. Manakala di luar rumah, berhala-berhala yang berdiri megah di sekeliling Ka’abah semua tumbang seperti ditolak oleh satu tenaga yang kuat dari arah Kaabah. Nun jauh di Farsi, api yang menjadi pujaan rakyat Farsi yang beragama Majusi sejak dinyalakan tidak pernah padam, tiba-tiba sahaja padam. Istana Maharaja Farsi, Kisra pula bergoncang.

Manakala di atas langit pula para malaikat sibuk bercakap tentang kelahiran insan agung yang akan membawa obor yang terang benderang untuk menyuluh umat manusia yang sedang bergelumang hidup di dalam kesesatan.

RAHMATAN LIL 'ALAMIN..!

0 comments: