BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Wednesday, February 24, 2010

Rahmatan Lil 'Alamin

Lahir seorang bayi yang elok rupa lagi sihat badannya pada suatu malam Isnin di bulan Rabiul Awal tanggal 12 haribulan bertepatan dengan tahun 570 Masehi. Si ibu, Siti Aminah ternyata tidak menanggung penderitaan yang berat sebagaimana kebanyakan ibu-ibu biasa ketika melahirkannya. Di sisi, hambanya Siti Syifa’ selaku bidan menyambut kelahiran bayi itu Dibersihkan badannya kemudian dibalutnya dengan kain putih bersih.

Sungguh menghairankan Siti Syifa’ yang juga merupakan ibu kepada Abdul Rahman Auf, tatkala menyambut kelahiran manusia agung tersebut. Bayi tersebut langsung tidak menangis, tetapi hanya bersin. Seakan sama dengan apa yang terjadi kepada bapa kita Nabi Adam. Setelah hidup dan bernafas, tiba-tiba beliau bersin.

Malah suasana di rumah Abdul Muttalib yang hanya diterangi cahaya pelita, tiba-tiba menjadi terang benderang. Manakala di luar rumah, berhala-berhala yang berdiri megah di sekeliling Ka’abah semua tumbang seperti ditolak oleh satu tenaga yang kuat dari arah Kaabah. Nun jauh di Farsi, api yang menjadi pujaan rakyat Farsi yang beragama Majusi sejak dinyalakan tidak pernah padam, tiba-tiba sahaja padam. Istana Maharaja Farsi, Kisra pula bergoncang.

Manakala di atas langit pula para malaikat sibuk bercakap tentang kelahiran insan agung yang akan membawa obor yang terang benderang untuk menyuluh umat manusia yang sedang bergelumang hidup di dalam kesesatan.

RAHMATAN LIL 'ALAMIN..!

Tuesday, February 23, 2010

Mengapa Ada Derita

Tuhanku...

Sungguh ganjil
Bagaimana bisa
Sekian lama
Aku tergiur
Pada yang selainMu..

Penderitaan adalah kerana pemilikan dan keterikatan.Ia muncul kerana adanya kelekatan atau 'attachment'. Kebergantungan terhadap sesuatu hingga lupa pada pergantungan yang lain yang sebenarnya adalah menjadi sumber ketidakbahagiaan. Ia sumber menjauhkan kita dari manusia lain. Malah boleh menjadi maya buat beberapa lama hingga menomborduakan Tuhan.

Keinginan dan pemilikan itu mampu memberikan kita keselesaan dan kebahagiaan sementara. Tetapi tidak mampu menjadikan kita insan dengan manusiawi yang sejati. Kita perlukan masa untuk melihat dan merenung ke dalam diri. Agar kita tidak menjadi manusia yang dikatakan Allah dalam Surah Al-Furqan, iaitu manusia yang menjadikan hawa nafsu sebagai Tuhan!

Cinta Itu Bukan Tuhan

Cinta itu bukan Tuhan. Maka bukan semua kehendak cinta harus dipatuhi. Cinta adalah ketulusan hati yang diserahkan. Ia ibarat mentari; menyinar tanpa mengharap untuk disinari, memberi tanpa mengharap kembali. Seringkali cinta digambarkan begitu suci. Tapi sayang, banyak cinta suci yang hilang kesuciannya lantaran menyangka bahawa ia akan kekal suci buat selamanya.

Cinta terus menyinar, menguntum adakalanya mengembang seketika lantas menguncup . Cinta datang dan pergi. Dan hidup begitu singkat untuk mempersoalkan tentang cinta yang sia-sia. Cinta yang tidak kesampaian. Cinta yang tidak berpenghujung. Hidup bukan semata-mata mempersoalkan tentang cinta. Hidup penuh dengan soal-soal lain yang jauh lebih penting.

Pergerakan masa yang terus berinjak tanpa penat hingga tiba suatu tahap ia merubah erti cinta buat sekalian khalayak pencari cinta. Signifikasi, pengertian malah rasanya semakin berbeza. Andai cinta itu tidak lagi suci, jangan disalahkan cinta. Tetapi persoalkan sang pencinta dan pencari cinta, adakah mereka benar-benar suci untuk menggenggam cinta yang suci?

Ketika ini, cinta masih kekal suci. Namun apakah cinta yang datang, cinta yang pergi, cinta yang menjengah seketika atau lama. Dalam diri si anak kecil, si tua bangka, si gadis atau teruna, hamba sahaya mahupun raja. Apakah ia sesuatu yang perlu atau sekadar ikut-ikutan demi mencari cinta sebenar? Ah, kita sudah terlalu lama untuk menilainya meski pencarian itu tidak akan pernah terhenti.