BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Sunday, April 11, 2010

Kebanyakan manusia tidak meyedari penderitaan, sebahagian lari dari penderitaan.
Dan, aku berada pada keduanya..

Aku peribadi yang terbebas dari siklus, dan aku jua yang berada di dalamnya.
Di luar atau di dalam, untuk aku jalani, untuk aku sedari..

Kehidupan ada pada keduanya. Dalam dan luar, atas dan bawah, zahir dan batin.
Keseluruhan...

Kebanyakan orang melihat keluar, sebahagian melihat ke dalam dan aku kembali melihat keluar tanpa meninggalkan yang dalam.

Aku melihat pada keduanya dalam satu...

Monday, April 5, 2010

Falsafah Busana Melayu

Saya terpanggil untuk berkongsi falsafah di sebalik baju kurung yang dipetik daripada novel Manikam Kalbu karya Faisal Tehrani, seorang novelis yang sungguh-sungguh saya kagumi dan begitu menginspirasikan. Betapa utuh nilai keislaman di sebalik busana melayu yang kita pakai selama ini. Sayangnya, ada pihak yang berani-berani menodai kesucian nilai pakaian kita sehingga sanggup memadankan baju kebaya dengan seluar jeans (sebagai contoh). Ini kreatif songsang dan berniat jahat ke atas budaya Melayu kerana menurut FT, jurubusana dewasa ini kebanyakannya tak cukup lelaki, akibatnya pakaian Melayu menjadi kacau bilau dan huru-hara oleh kekeliruan mereka.

Perbualan Sultan Muhammad Syah dengan Manikam Kalbu.....

“Tuanku, pacal namakan busana yang pertama ini baju kurung. Boleh sahaja disediakan untuk lelaki mahupun perempuan. Tetapi, dengan sedikit perbezaan. Adapun pacal namakan baju kurung kerana pertama, busana ini dikurung oleh syarak. Pakaian Melayu itu haruslah dikurung ketentuan syariat. Maka memang pacal rekakan pakaian ini supaya labuh, longgar, selesa dan tidak mengetam.”




“Adapun kurung itu dikurung oleh adat. Manusia Melayu itu apabila mengenakan baju kurung, segera dia tahu membawa diri, menyesuaikan dengan tempat, tahu pula alat kelengkapan yang harus dipakai sama, tahu cara memakainya, dan wajib pula tahu apa makna dan tujuan mengenakannya”

“Pacal mengimpikan sejenis busana yang apabila dikenakan di badan si pemakainya terkurung dan terhindar sifat angkuh dan sombong. Oleh baju kurung itu sekali-kali si pemakainya tidak bercakap bohong dan apabila sudah berbaju kurung peliharalah iman supaya tidak terpesong”

"Mengapa baju kurung lelaki berbutang lima dan baju kurung perempuan berbutang satu?"





“Pacal membayangkan rumah butang yang lima itu maknanya rukun Islam yakni yang atas itu mengucapkan dua kalimah syahadah, yang keduanya itu solat lima waktu justeru sesuai sekali baju kurung dibawa ke masjid. Rumah ketiga itu mengingatkan kepada puasa Ramadhan dan yang keempatnya supaya si pemakai sedar akan kewajipan berzakat dan yang terakhir ialah jika ada kemampuan, eloklah si pemakainya naik haji."



Ampun Tuanku, pacal juga mengimpikan butang yang satu itu ialah lambang akidah kita. Kita mengesakan Allah yang satu. Pacal bayangkan bumi ini bulat seperti mulut belanga (leher baju kurung) dan kita duduk di mukanya (butang nan satu yang mengancing leher baju) sebagai abdi Tuhan.”

Tahukah anda, apabila bangsa di timur telah pun pandai mewarna benang, menggunakan benang emas untuk dilekatkan di sepatu, dan menggunakan sutera serta bermacam lagi tenunan, orang Barat masih lagi dalam zaman gelap, benua Eropah masih lagi dicengkam penyakit buta huruf, kusam dan mereka hampir-hampir tidak berpakaian (Dark Ages). Malah benua Amerika pun belum mereka temui ketika itu!

Sungguh saya merasa 'kenyang' seusai membaca novel ini......=)